Belajar Sendiri Tanpa Mentor

Photo by Daniel on Unsplash

Dalam bab keduniaan, banyak perkara dalam hidup yang aku buat adalah dari cara belajar sendiri, dari cara membina laman web, pengaturcaraan, pertukangan dan trading stock. Sampai sekarang aku masih berpegang kepada kata-kata senior aku, "Ilmu dunia takpe belajar sendiri, tapi ilmu akhirat tak boleh, mesti berguru".

Pada peringkat awal pembabitan aku dalam bermain saham, tak sampai 5 kali rasanya aku ikuti webinar dan online class yang dianjurkan oleh remisier-remisier broker saham. Bukan kerana mereka tak bagus, tapi nature aku yang agak kurang sabar bila mempelajari sesuatu, tapi tak sabar dalam bentuk yang positif sebagaimana salah satu syarat yang terdapat dalam bait-bait syair Alala, iaitu kalimah hirshun (حرص) yang bermakna loba atau tamak akan ilmu.

Tambahan pula mungkin aku jenis yang single minded, berkerja sendiri, dan punya masa untuk mentalaah suatu topik untuk jangka masa panjang. Akhirnya aku ambil keputusan untuk belajar sendiri bagaimana nak memahami selok-belok pelaburan dan perdagangan saham. Lebih dari seratus buah Ebook berkenaan trading dan investing yang aku download dan berpuluh buah yang aku cetak sampai jahannam printer Canon E470 (minimum helaian sesebuah buku paling cikai 100ms dan ada yang hampir 400ms).

Motivasi aku belajar sendiri selok-belok berkenaan saham adalah dari Tim Sykes, aku baca kisah beliau yang belajar berkenaan trading dan investing tanpa mentor, tetapi pada akhirnya beliau telah menjadi seorang mentor yang berjaya melahirkan berpuluh-puluh orang jutawan penny stock (tapi aku bukanlah salah sorang anak muridnya, cuma aku kagum dengan kisah dan semangat si Yahudi tu berkongsi ilmu dan mendidik para muridnya hingga berjaya).

Disebabkan terlalu banyak subjek yang nak dipelajari dalam memahami selok-belok pelaburan dan perdagangan saham hinggakan aku terasa seolah-oleh seperti nak mempelajari ilmu-ilmu Al-Quran pulak. Kau bayangkan, Ulumul Quran mengandungi berbelas-belas cabang ilmu yang mesti dikuasai jika seseorang tu mahu menjadi mufassir. Sebahagian para ulama mengatakan 15 jenis ilmu, sebahagian lagi kata 19 dan ada yang kata sampai 21 cabang termasuk ilmu sosiologi dan politik barulah layak menjadi mufassir. Sebagaimana ilmu saham, dalam bab Fundamental Analysis, ada beberapa sub-topik penting yang kita kena dalami sebagai subjek berasingan yang perlu dipelajari jika kita benar-benar mahu menguasai Fundamental Analysis. Begitu juga dengan Technical Analysis, mengenali jenis-jenis carta, psychology di sebalik rupa bentuk candlestick, chart pattern, jenis-jenis indicator dan bermacam lagi. Itu belum lagi masuk bab money and risk management serta trading psychology pon kena belajar. Jadi itulah kenapa aku kata belajar ilmu-ilmu saham seperti belajar ilmu-ilmu al-Quran. Main saham ni nampak je simple tapi bukan senang.

Oleh kerana terlalu banyak subjek dan sub topik yang kita nak kena pelajari, akhirnya aku terpaksa belajar cara membaca kembali. 300-400 muka surat bukanlah satu buku yang boleh dihadam dalam masa 2-3 minggu, dan bukan sekali khatam terus mahir. Sebab itulah aku mengaplikasikan teknik membaca pantas. Ayat pertama yang Allah s.w.t. turunkan kepada Rasulullah s.a.w bermula dengan kalimah IQRA. Ya Baca! Tapi bacaan lagu mana yang menghasilkan kefahaman dan keimanan yang mantap? Sebab itu wajib bagi orang yang nak membaca al-Quran mempelajari ilmu tajwid. Begitu jugalah dalam membaca apa-apa kitab-kitab ilmu selain agama kita. Kena tahu cara dan kaedah teknik membaca yang menghasilkan kefahaman yang jelas walaupon kita membaca dengan kadar yang pantas beribu-ribu kalimah dalam seminit.

Selain mempelajari teknik membaca dengan pantas, aku juga terpaksa belajar kembali cara untuk fokus dalam setiap subjek yang sedang dikaji. Tak hairan kenapa salah sorang anak murid Tim Sykes menghabiskan masa 8 - 10 jam sehari belajar selama setahun sebelum mula melakukan trading pertama beliau. Kerana dalam dunia trading, selain mempelajari teori, kita juga wajib melakukan praktikal melalui paper trade untuk mengasah kemahiran kita. Sebab itu kena belajar mendisplinkan diri untuk memberikan tumpuan dalam belajar dan mengkaji satu-satu saham yang kita nak masuk dan keluar. Jadi dengan cara itu insyaAllah akan menjadi asbab dan musabab bagi kita agar dapat memaksimumkan profit dan meminimumkan kerugian kita dalam perdagangan dan pelaburan saham.

Wallahu a'lam..


Previous Post Next Post

Contact Form